Format rancangan Mic ON! Selebriti

Program ‘Mic On Selebriti’ bakal dikendalikan sepenuhnya oleh Shiha Zikir dan Jaa Suzuran yang telah diberi kepercayaan untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai hos musim ini.

12 barisan pelakon popular yang akan berentap di pentas utama ‘Mic On Selebriti’ untuk membuktikan bakat dan kebolehan masing-masing dalam bidang nyanyian pula adalah terdiri daripada 7 peserta lelaki iaitu Zul Huzaimy, Fauzi Nawawi, Johan As'ari, Namie, Chiwan, Ammar dan Anas Ridzuan.

Manakala 5 peserta wanita pula termasuklah Sherry Ibrahim, Mona Allen, Elly Arifin, Afifah Nasir dan Amyza Aznan. Kesemua mereka akan dibahagikan kepada tiga buah kumpulan dan diletakkan di bawah pengawasan manager yang telah dilantik sepanjang pertandingan berlangsung.

Manakala 3 penyanyi terkenal tanahair iaitu Black, Hazama dan Aepul Roza telah diberi mandat selaku manager yang akan memberi idea, tunjuk ajar dan bimbingan kepada 4 orang selebriti di bawah naungan mereka.

Bagi merancakkan lagi cabaran program ini, kesemua manager juga akan diberi tugasan mingguan yang perlu dinilai oleh barisan juri. Manager yang berjaya merangkul persembahan terbaik setiap minggu akan menerima ganjaran istimewa.

Sistem pemarkahan program ‘Mic On Selebriti’ pula akan diadili 100% oleh pihak juri tetap berdasarkan tiga komponen utama penilaian iaitu aspek vokal yang mewakili 50%, persembahan sebanyak 30% dan 20% lagi untuk kreativiti.

Uniknya, markah selebriti yang tertinggi akan dicampurkan dengan markah selebriti terendah. Kumpulan yang mencatat markah keseluruhan terendah akan mara ke pusingan penyingkiran. Selebriti yang akan tersingkir pada setiap minggu akan dipilih oleh manager kumpulan itu sendiri.

Tiga nama besar yang dilantik sebagai juri tetap program ‘Mic On Selebriti’ ialah Hashridz Murshim Hassim atau lebih dikenali dengan nama Dato’ Acis yang bertindak sebagai pengarah muzik, Dato’ Aaron Aziz serta Erra Fazira.